Tuesday, February 23, 2010

Talaqqi BIDAYATUL HIDAYAH(Permulaan Jalan Hidayah)



Kitab BIDAYATUL HIDAYAH adalah merupakan kitab karangan Al-Imam Hujjatul Islam AL-Ghazali rahimahullah yang banyak dilimpahi keberkatan daripada Allah s.w.t.Ia merupakan ringkasan atau pati kepada kitab induk Ihya' Ulumuddin.Kitab BIDAYATUL HIDAYAH telah banyak memberi manfaat kepada sekian banyak penuntut ilmu yang mentelaahnya dengan niat yang ikhlas dan untuk mengamalkan isi kandungannya.Faedah dan manfaatnya sudah jelas dan tidak dapat disangkal lagi.

Sebenarnya kitab BIDAYATUL HIDAYAH ini telah pun diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh seorang tokoh yang terkenal iaitu Al-Alim Al-Allamah As-Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani (meninggal sekitar tahun 1203 h).Terjemahan beliau dinamakan sebagai Hidayatussalikin Fisuluki Maslakil Muttaqin.Kitab ini amat terkenal di rantau Asia Tenggara kerana ia mempunyai gaya bahasa yang tinggi dan huraian yang lengkap serta penambahan yang besar faedahnya.

Berbalik semula kepada kitab BIDAYATUL HIDAYAH,kitab ini merupakan kitab tasawwuf yang terdiri dariapada beberapa bahagian perbahasan.Kitab ini dimulakan dengan pendahuluan daripada Imam Ghazali yang dituju khusus kepada para penuntut ilmu agar tidak terpedaya dengan syaitan yang selalu berusaha menyesatkan anak Adam.Bahagian pertama yang dibincangkan dalam kitab ini ialah tentang adab-adab melaksanakan ketaatan yang kemudiannya disusuli dengan cara-cara meninggalkan maksiat dan adab-adab bermuamalah dangan Khalik dan makhluk.

Tambahan lagi,kitab BIDAYATUL HIDAYAH ini umpama manual amalan harian dalam kehidupan seseorang muslim(hal ini amat penting terutamanya individu yang berintima' dgn gerakan dakwah Islamiyah).Ia bertindak sebagai bekalan kepada kita sepanjang perjalanan dunia dan akhirat(Zad 'alattariq).

Apabila kita mendalami (bertalaqqi dan bukan hanya sekadar membaca seperti buku-buku biasa) dengan tekun dan teliti,kita akan dapat rasakan bahawa Imam Al-Ghazali sedang berinteraksi dengan kita.Beliau berinteraksi dengan memberikan nasihat dari hati yang penuh kasih-sayang dan belas kasihan dan interaksinya dari hati ke hati.Interaksinya umpama seorang murabbi(pendidik) yang amat berpengalaman dalam bidang pembentukan ruhani kepada seorang pelajar yang memerlukan bimbingan.

Dalam agama kita ada disebutkan satu kaedah yang mana mafhumnya "apa yang tidak dapat diamalkan semua maka jangan ditinggalkan semua".Justeru,kita sebagai orang Islam terutamanya golongan pemuda/siswa;siswi/pelajar(SYABABUL ISLAM) hendaklah berusaha untuk beramal dengan isi kandungan kitab ini agar ketaqwaan kita dapat ditingkatkan.Kita tidak dicela kerana tidak sampai kepada peringkat ketaqwaan yang tinggi,tetapi kita dicela kerana tidak membuat usaha sedangkan kita masih berkemampuan.

Rujukan=Kitab BIDAYATUL HIDAYAH terjemahan guru kepada guru kami Syeikh Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Gambar diatas ialah gambar Majis Bani Umayyah,Dimasyq,Syria.Di masjid ini terdapat "Az-Zawiyah Al-Ghazaliyyah" iaitu sebuah bilik yang telah dijadikan oleh Imam Al-Ghazali sebagai tempat ibadat dan mengarang kitab.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Alhamdulillah pada tanggal 22/02/2010 kami pelajar UIAM PJ dapat menamatkan sesi talaqqi kitab BIDAYATUL HIDAYAH untuk semester 2.Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah satu anugerah daripada Allah yang tidak ternilai buat kami.Terima kasih diucapkan kepada guru kami Al-Fadhil Ustaz Muhadir hafizahullah yang sudi meluangkan masa membacakan kami kitab ini dan berkenan untuk mengijazahkan kami untuk beramal dengan beberapa amalan yang menjadi kelaziman masyaikh Ahlussunnah Wal Jamaaah yang mana rantaian sanadnya bersambung dengan ulama'-ulama' yang thiqah dan muktabar.

No comments:

Post a Comment