Wednesday, February 24, 2010

Riwayat Hidup Imam Ghazali rahimahullah(450-505H/1058-1111M)

Imam Al-Ghazali rahimahullah adalah diantara tokoh pemikir Islam terulung dan mendapat jolokan "Hujjatul Islam" daripada ulama' umat ini.Namanya bukan sahaja meniti di bibir orang Islam bahkan orang bukan Islam juga menyebut-nyebut nama beliau.Ilmunya sangat luas,pengalaman dan keahliannya dalam ilmu tasawwuf dan pembentukan rohani memang tidak dapat disangkal lagi.Kehebataan kitab Ihya'nya memang diakui oleh kawan dan lawan.

Nama beliau yang sebenarnya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Abu Hamid Al-Ghazali At-Thusi dan dilahirkan di kampung Ghazalah di kawasan Thus iaitu sebuah bandar yang terletak di utara Iran.Beliau dilahirkan dari keluarga yang miskin tetapi kuat berpegang pada agama.Orang tuanya telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil yang menyebabkan beliau terpaksa manghadapi pelbagai cubaan dan dugaan.Namun hal inilah yang memberikan kelebihan tambahan kepada Imam Ghazali pada usia tua.

Pada mulanya,Imam Ghazali belajar di kampungnya dengan seorang ulama' yang bernama Syeikh Ahmad Ar-Razkani kemudiannya dengan Syeikh Abu Nasr Al-Ismaili di Jurhan.Selepas itu,beliau pergi melanjutkan pelajaran di Naisabur dengan Imam Al-Haramain Al-Juwaini. Disebabkan potensi Imam Ghazali amat terserlah,Imam Haramain menggelar beliau sebagai "Al-Bahrul Mughdak" iaitu lautan yang tidak bertepi.

Apabila Imam Haramain Al-Juwaini meninggal dunia pada tahun 478H,beliau membawa diri ke Maaskar dan bertemu dengan Al-Wazir(menteri) Nizam Al-Malik yang sangat menaruh minat yang tinggi terhadap ilmu dan ulama'(wujud lagi ke tak menteri semacam Nizam Al-Malik sekarang,sama-sama kita fikirkan).Setelah Nizam Al-malik mengetahui tentang kebolehan Imam Ghazali,beliau terus dilantik sebagai "mahaguru" di "Madrasah Nizhamiah" Baghdad sedangkan umur Imam Ghazali baru mencecah 34 tahun.Satu kedudukan yang amat tinggi pada zaman tersebut yang belum pernah disandang oleh mana-mana Ulama' yang masih muda seperti Imam Ghazali.Imam Ghazali kekal dengan jawatan ini selama 10 tahun.

Setelah itu terdetik di hati Imam Ghazali satu keinginan yang mendesak untuk meninggalkan kedudukan tinggi tersebut.Pada tahun 488H beliau meninggalkan Baghdad dan meninggalkan segala perkara yang berbentuk material seperti kekayaan,kedudukan dan penghormatan seterusnya melazimkan diri mempelajari ilmu Tasawwuf.Pada mulanya,beliau pergi ke Dimashq dan beruzlah di sana lebih kurang dalam masa dua tahun dan berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji dan menziarahi Madinah serta Al-Quds.Seterusnya,Imam Ghazali kembali ke Dimashq dan beruzlah di Al-Jami' Al-Umawiy.Di tempat inilah bermulanya proses mengarang kitab Ihya' Ulumuddin.

Pada tahun 500H,telah berlaku pembunuhan terhadap Fakhrul Malik dan tercetusnya kekacauan dalam negeri.Imam Ghazali memilih untuk pulang ke kampung asalnya di" Thus",lalu beliau mengasaskan sebuah madrasah dan zawiyah(pondok) berhampiran dengan kediamannya.Maka sejak saat itu beliau terus mengabadikan dirinya untuk mengajar,mengarang dan mendidik murid-murid yang datang dari pelbagai tempat sehinggalah beliau dipanggil ke hadrat Allah s.w.t pada tahun 505H dan jenazahnya dikuburkan di Thus.

Semoga Allah mencucuri beliau dengan rahmat yang luas dan semoga Allah memberi kita keberkatan dengan ilmu yang beliau tinggalkan.

No comments:

Post a Comment